6/20/2011

istikharah.


dalam melayari taufan kehidupan ini, kita memang harus akui, kita sebenarnya adalah makhluk Allah yang sangat lemah!

acapkali kita jatuh dan tersungkur, tetapi Allah memberi keistimewaan pada manusia, apabila kita melakukan kesalahan, kita masih mampu bertaubat kepadaNYa.

manusia juga diciptakan dengan sifat sering berkeluh kesah. selalu risau-risau akan perkara yang bakal berlaku dalam hidupnya. itu menunjukkan bahawa walau Allah memberi kita akal, akal kita masih tak mampu menjangkau perkara-perkara ghaib yang hanya Allah sahaja yang mengetahuiNya. kita tak mampu menjanjikan syurga sudah berada dalam genggaman. kita tak mampu katakan bila kita melakukan sesuatu keputusan kita bahagia sentiasa tiada rintangan? hanya kepada Allah lah kita sandarkan kelemahan kita dan mohon petunjuk.

baru-baru ini, aulia banyak berbincang dengan beberapa orang akan istikharah. walaupun begitu, aulia masih tidak layak untuk berbicara akan soal ini, tetapi apabila kita bersama nasihat-menasihati, berkongsi, kita sama-sama merungkai persoalan misteri dalam hidup ini.


kalau kita ada beberapa pilihan, dan kita keliru akan pilihan tu, macam mana nak pilih?

solatlah istikharah. pastikan hati tenang dan khusyuk. jangan condong kepada mana-mana pilihan sebelum pilih. tawakkal dan percayalah pada Allah dengan sepenuh-penuhnya. yaqin, dan bersungguh-sungguhlah dalam meminta. bersangka baik pada Allah. Allah tetap akan tunjukkan jalan walaupun cepat atau lambat.




lepas tu, petunjuk apa yang Allah boleh bagi? bagaimana nak tahu itu adalah petunjuk?

ada banyak petunjuk yang boleh Allah beri. ada yang diberi melalui mimpi. diberi keyakinan hati, rasa condong terhadap salah satu pilihan, terasa yakin dan kuat untuk memilih, tiada rasa gundah dan was-was, rasa tenang dan bahagia apabila hendak memilih, atau terdetik untuk memilih sesuatu.

antaranya lagi, dipermudahkan urusan. dengan tiba-tiba sahaja peluang dan jalan menuju ke arah sesuatu itu jelas. tanpa usaha yang jerih payah, segalanya berlaku mengikut 'flow'. tanya lagi pada hati, apakah anda runsing akan perkembangan itu? jika tidak, ucapkanlah setinggi-tinggi syukur. Mudah-mudahan Allah telah memilih dan melaksanakannya untuk anda sendiri. Biiznillah..bertawakkallah sentiasa!

TETAPI..

janganlah melakukan sesuatu pilihan kerana terlalu fikirkan orang lain. jangan biar rasa hati dipengaruhi dengan keadaan yang akan berlaku pada insan lain akibat pilihan kita. itu wajar juga dipertimbangkan, tetapi, ia bukanlah yang utama. ingat, Allah yang paling berhak menjaga hamba-hambaNya. ambillah masa, jangan lakukan sesuatu kerana terpaksa. jika perlu, lakukanlah berturut-turut sehingga hati rasa tenang dan tetap akan sesuatu..

Contoh (apabila telah melakukan solat)
1. nak sambung pembelajaran: tetapi hati rasa berat, terfikir duit yang tiada untuk menanggung pembelajaran

2. kerja dahulu/ usahakan kerja sambil belajar: hati lebih condong ke sini. di samping kerja mencari duit, boleh sambil timba pengalaman dan bantu keluarga. hati rasa lebih yakin untuk melakukan ini walaupun nampak susah.

Contoh lagi,
1. kerja di tempat A.

2. kerja di tempat B.

walaupun setelah memohon petunjuk, masih tidak kelihatan yang jelas di hati. kedua-duanya nampak tidak tetap dan masih keliru. maknanya kedua-duanya mungkin bukanlah pilihan yang terbaik. mungkin belum tiba masanya atau mungkin akan ada pilihan lain yang menanti. sabarlah..

pasti ada banyak lagi cara-cara / nasihat / pendapat yang boleh sahabat-sahabat kongsikan. wallahualam.

‎"Jika ALLAH SWT memakbulkan doamu, maka Allah meneguhkan kepercayaan mu kepadaNya",

"Jika ALLAH SWT menangguhkan doamu, maka ALLAH menguji kesabaranmu",


Jika ALLAH SWT TIDAK MEMAKBULKAN doamu, maka ALLAH telah merancang sesuatu yang lebih baik buatmu"



Selebihnya, banyak-banyaklah beristighfar, barangkali dosa yang bertompok dalam hati kita telah membutakan kita daripada melihat petunjuk yang benar..



0 bisikan:

Post a Comment

 

Fatimah Zahra Hanan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino