5/26/2011

Wanita...


Entry kali ini, adalah untuk menitipkan sejuta penghargaan buat para wanita, ibu-ibu, para isteri, anak-anak perempuan, kakak kita, adik kita, dan sekalian srikandi muslimah. Walaupun tidak mencukupi, tetapi ketahuilah! Aulia SENTIASA mendoakan kalian sentiasa terpelihara, bahagia, dalam dakapan erat kasih sayang Tuhan. :’(

“Ingatlah, perkahwinan itu bukan perkara indah semata. Kadang kala kita tidak diuji dengan seantero dunia, tidak diuji dengan sulitnya dakwah, tetapi seorang isteri itu diuji dengan seorang insan sahaja, yang bernama suami”  -Khawlah-

Dan, serangkap kata-kata seorang da’iyah yang cukup terpahat di jiwa.

“akak sendiri tak tahu apakah method sebenarnya kita nak kenal pasangan kita, lelaki yang bagaimanakah yang mampu menjadi suami yang baik untuk kita, wanita yang bagaimanakah mampu menjadi isteri yang baik untuk kita. Kadang kala, cara jalan kita dah betul, dijodohkan segalanya. Tetapi akhirnya bercerai. Itu semua ketentuan dan ujian daripada Allah. Silap kita, jika kita jangkakan perkahwinan ini yang nak membahagiakan kita. Sebaliknya kita yang perlu berkorban! Tetapi ingatlah akak nak pesan, ujian boleh datang dalam pelbagai cara. Ikhlaslah! Kita kahwin, untuk Allah. Untuk agama kita. Dan, hanya pada Allah sahajalah kita pohon yang terbaik untuk kita” –akak ili-

Dan, kata-kata seorang sahabat.

“sebelum kita kahwin, kita kena betul dengan Allah”  
Sungguh, tiada jaminan untuk sebuah perkahwinan bahagia walau siapa pun calonnya. Hakikatnya, perkahwinan adalah medan untuk memberi, mencurah, berkorban, BUKAN SEMATA-MATA MEMUASKAN KEINGINAN HARAPAN IMPIAN KITA!

Untuk para isteri yang begitu banyak mencuka rasa, begitu sabar menelan kepahitan, lidah yang menanggung cerita derita, mata yang kekeringan air mata…

“akak sejak menjak sakit (gangguan) ni, akak rasa sangat kecewa dengan diri sendiri. Akak xdapat nak jalankan tanggungjawab yang sempurna sebagai seorang isteri.. dulu akak kerja, sekarang suami akak tanggung sendiri. Kadang-kadang, suami akak yang jaga anak-anak. Penyabarnya dia..itu pun akak marah-marah dia. Yalah, kita sakit, kadang-kadang, kita marah pun tak ada sebab. Akak sedih..pernah akak jatuh di rumah, tak boleh bergerak. Nak telefon suami, dia tengah kerja. Akak tak berani kacau dia..jadi, akak sorang-soranglah sakit di rumah…”  -akak-

Dan, seorang saudari yang begitu aulia kasihi.. akak, semoga Allah sentiasa mengurniakan kekuatan kepadamu..diuji dengan ujian perkahwinan yang begitu berat, berjauhan dengan suami, keguguran berkali-kali..

Wahai permata hatiku sekalian, Allah Maha Tahu apa yang kalian lalui..andai kata tiada ‘teman’ yang selayaknya dapat membahagiakan kalian di dunia ini, semoga Allah mengurniakan kalian ‘teman’ yang berjuta kali ganda lebih baik di akhirat kelak. Biar para suamimu di dunia cemburu. Andai di dunia, mereka tidak kenal erti menghargai wanita..Hanya Allah yang dapat memberikan yang terbaik.

Untuk aulia melukiskan betapa ibu-ibu kita, para isteri berkorban..memang tidak dapat. Terlalu banyak..Hanya Allah lah yang dapat membalasnya.. memang bodohlah lelaki kalau tak tahu nak hargai wanita..

Apabila wanita mengalirkan air mata disakiti, dilukai..kita, kita memang patut malu! Mereka bukanlah perwira yang namanya tercatit dalam lembaran sejarah. Terkenal sebagai hero di mata dunia. Tetapi, ibu kita, isteri kita, sentiasa menyelamatkan maruah kita, menjaga kita, menangkis daripada sebarang ancaman dan kecaman yang mampu menyakitkan orang-orang yang dia kasihi. Apa yang dia mahu?
Dia hanya mahu dihargai. Disayangi. Dilayani sebagai wanita sehendaknya. Bukan, hamba yang seakan tiada naluri.

Wanita, dengan kesakitan mereka akan lebih mencintai,
seperti melahirkan anak, sakit. Tapi dengan rasa sakit itulah mereka begitu menyayangi anak-anak.
tetapi lelaki, dengan kesenangan baru mereka akan lebih mencintai.
bermakna, mereka bila dilayan, dicukupkan keperluan, baru mereka akan membalas.
Wanita, apabila mereka mahukan sesuatu,
mereka akan lebih banyak memberi.
sedangkan lelaki, diberi sehingga puas,
baru terasa nak memberi.

Kadang kala, kesal dengan sikap para lelaki, gagal nak memahami nasihat-nasihat dalam Al-Quran dan pesanan-pesanan Rasulullah..

“Para isteri itu bagaikan ladang bagi kamu..” yang bermakna ladang itu adalah sesuatu yang amat berharga, yang mana bila kita jaga, tumpu, curahkan tenaga bercucuk tanam, ia dapat memberi kesenangan, keuntungan dan kebahagiaan kita. Apa yang terjadi bila kita tak jaga ladang tu? Biarkan ia ketandusan..? tanah tetap memberi manfaat. Tetapi ingat, ia menelan segala sampah yang dibuang tanpa bising. T___T

“berlemah lembutlah terhadap isteri kamu..” Rasulullah saw cukup marah bila seorang lelaki pukul perempuan, walaupun mengangkat suara yang tinggi terhadap isteri. Ibu kita, kalau seharian dia bekerja, dan petangnya kita ucapkan kata penghargaan untuk dia sewaktu dia berehat, percayalah, dia akan bangkit kembali untuk berkhidmat. Tetapi cukuplah kita meninggikan suara, serta merta setiap sendinya berasa sakit dan badannya lelah dan lemah. Itu baru anak cakap, kalau suami…?

Selalu soalan yang ditanya mengapa akhowat bila kahwin ramai yang futur daripada bidang dakwah? mengapa?

Kerana berkorban. Korban untuk suami, mudah-mudahan dengan dia yang menjaga segala keperluan suami, sang suami dapat menyerlah lagi, lebih sempurna gerak kerjanya. Kerana anak-anak. Jika tidak dididik dengan acuannya, siapa lagi yang dapat dia sandarkan harapan?
Kalau dulu kecintaannya tercurah pada dakwah. Bergiat aktif ke sana-sini. Bila kahwin. Dipendamkan segalanya. Kenangannya disimpan rapi dalam memori. Barangkali, dia cuba membahagiakan dirinya bila sang suami balik bercerita tntang episod dakwah yang dia curahkan dan jerih payahnya berkorban. Tetapi, sang isteri hanya tersenyum tumpang bahagia, disemarakkan lagi semangat juang suaminya sedangkan impiannya dikuburkan jauh di sudut hatinya. Demi mereka yang tercinta.

Kita selalu bercerita pada ibu kita, angan-angan kita, impian kita, tetapi jarang kita tanya apa impian mereka? Kalau ditanya pun, mereka jawab, (jawapan nak cover) nak tengok kita berjaya. Betul, itu memang harapan mereka. Sekurang-kurangnya terasa berbaloi segala pengorbanan mereka. Tapi ingat, mereka juga manusia sebelum melahirkan kita. Mereka juga masih manusia semasa membesarkan kita. Pasti terselit harapan dan impian mereka. Jauh di sudut hati mereka.

Ibu, kalau anaknya perlukan buah pinggang, dia sanggup bagi. Nak mata pun dia sanggup bagi. Tidak hairanlah kalau ada sebuah kisah di Palestin seorang ibu mengandung mati ditembak sebab nak lindungi anak-anak kecilnya yang lain. Dia sanggup menjadi hamparan peluru demi anak-anaknya!

Lihatlah para wanita dalam hidup kamu, wahai lelaki. Adakah kalian menganggap mereka sebagai hiasan yang  perlu dijaga, digilap kebaikannya atau sebagai lilin yang meleleh-meleleh mengorbankan dirinya?

Oh. Maaflah. Aulia bukan nak kecam lelaki di sini. Tetapi, kita, lelaki mahupun perempuan, hargailah orang-orang di sekeliling kita. Dan, orang yang paling bijak dalam menghargai ialah Rasulullah saw.

Tingkatkan syukur, Ikhlaskan hati. Demi Allah.

0 bisikan:

Post a Comment

 

Fatimah Zahra Hanan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino