5/19/2011

Tarbiyah Ruhiyah


Nota Tarbiyah : Tarbiyah Ruhiyah
Oleh : BroHamzah


Sepanjang berada di dalam proses tarbiyah ini, suatu perkara yang tidak pernah diabaikan dan dipandang remeh oleh murabbi-murabbi saya ialah Tarbiyah Ruhiyah.

Apa itu Tarbiyah Ruhiyah?

Mudah sahaja, didikan ruh. Proses untuk memantapkan ruh kita. Proses untuk sentiasa me”maintain”kan hubungan jiwa kita dengan Allah SWT.

Semasa di MATRI dahulu, abang-abang senior saya selalu mengingatkan agar sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT. Ringkasannya ialah HDA.

HDA – Hubungan Dengan Allah. Ia adalah hubungan yang sangat penting. Hubungan intim, dekat dan sangat mesra antara makhluk dan Sang Khaliq.

“ Ke mana saja kita pergi, sama ada di dalam kelas, di padang bola, di kantin, di dewan makan, di Bandar, di rumah. Kita harus ada HDA.” Pesan seorang abang senior. Pesanan ini sentiasa diulang dan diperingatkan.

Saya selalu diingatkan bahawa Allah SWT adalah segala-galanya dalam hidup ini. Tarbiyah ini ditanam dengan serius sehingga ia mesti menjadi malakah (darah daging) saya. Saya masih ingat suatu kata-kata salah seorang murabbi saya juga semasa di universiti dulu, Ustaz Noorazman Shamsudin. Bicaranya sangat menyentuh hati saya :

“ Jika kita tinggalkan Allah SWT dalam kehidupan, kita akan hilang segala-galanya.”

Merasai kewujudan Allah SWT di mana sahaja berada. Penanaman nilai-nilai inilah yang menjadi asas pembinaan keimanan, keyakinan dan kepergantungan kepada Allah SWT.

Dr Muhammad Qutb, menerangkan bahwa untuk merasai tarbiyah ini kita harus tingkatkan kepekaan jiwa dengan kewujudan Allah SWT. Bagaimana? Antaranya ialah sentiasa merasai kebersamaan Allah SWT, kagum dengan Allah SWT dan sentiasa hangat untuk mencintai Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Sungguhn beruntung orang yang menyucikannya (jiwa), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

( Asy-Syams (91) : 9-10)


Langkah-langkah praktikal untuk melaksanakan Tarbiyah Ruhiyah

(1) Merasai perlunya Allah SWT di dalam kehidupan – Bertitik tolak daripada inilah kita akan berusaha mencari Allah SWT sebagai tempat pengharapan, curahan kecintaan dan pergantungan sepenuh jiwa.

(2) Menghubungkan segala-galannya dengan Allah SWT – Segala perasaan di dalam jiwa dihubungkaitkan dengan Allah. – Sayang, seronok, gembira, sedih, kecewa, dendam, berani, cinta, putus asa, marah dan sebagainya. Semua ini adalah untuk merasai hampir, dekat dan rindu kepada Allah SWT

(3) Mendidik hati untuk sentiasa terikat dengan Allah SWT. Segala peristiwa yang dihadapi dalam hidup diikat dengan asas keimanan, dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Jika dianugerahi kesenangan, lafaz syukur kepada Allah SWT dizahirkan semaksima mungkin. Namun, jika diuji dengan kesusahan maka didiklah hati untuk redha dan menerima dengan kepasrahan yang membulat kepada Allah SWT.

(4) Membuang rawasib-rawasib ( karat-karat) di dalam hati yang menghalang untuk dekat dengan Allah SWT. Rawasib seperti dendam, marah, kelemahan, keaiban, kotoran dosa-dosa, segala kesan maksiat, perasaan cinta dunia dan takjub dengan diri sendiri perlu disingkir daripada hati.

Tarbiyah Imaniyah asas kepada tarbiyah ruhiyah

Inilah proses didikan yang akan menguatkan jiwa, ruh dan perasaan kita. Tarbiyah sebeginilah yang menjadi tapak asas kepada pembentukan keperibadian seorang mukmin muslim. Tarbiyah yang akan memberikan kepada kita gambaran jelas tentang hakikat dunia dan hakikat akhirat.

Saya teringat kata-kata seorang murabbi saya iaitu Dr Azizan Ahmad, katanya : “ Kita mesti tarbiyah hati kita sehingga nampak dunia, dan nampak akhirat.” Maksudnya nampak tujuan kehadiran ke dunia dan faham dengan jelas matlamat menuju akhirat.

Kesan sebegini akan dapat dirasai melalui proses didikan bersumberkan sumber yang benar, sahih dan muktabar. – Al-Quran dan Al- Hadis.

Ruhaniyah yang kuat, bersih, jernih, ampuh, mantap, kukuh dan utuh adalah ruh yang akan membawa kepada diri si pemiliknya untuk berhubungan terus dengan rabb-Nya.

Ruh sebegini, akan merasai kemanisan dan kelazatan dalam beriman dengan Allah SWT. Kecintaan, pengharapan, perasaan takut, kepasrahan, kepergantungan, fokus kehidupan dan segala-galanya akan bertumpu hanya sanya kepada Allah SWT.

Dan inilah keyakinan yang harus kita laksanakan dalam hidup ini. Proses pembentukan keimanan yang benar ini harus berjalan secara amali. Didikan yang akan menghidup, menyuburkan dan menyegarkan hati bagi sesiapa yang peka dengan diri dan akhiratnya.


Pengaruh Tarbiyah Ruhiyah

Tarbiyah ruhiyah akan melahirkan peribadi yang cekal, keimanan yang mantap, keyakinan yang utuh kepada Allah SWT dan kepergantungan yang membulat tanpa sebarang keraguan atas segala ketentuan-Nya.

Tarbiyah ruhiyah inilah yang melahirkan generasi didikan awal yang sangat luar biasa pengorbanan mereka, dan ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa kerana mempertahankan keimanan yang tersemat kukuh di sanubari.

Tarbiyah inilah yang melahirkan para duat yang tabah dalam mengharungi rintangan serta ujian yang sentiasa bertaburan di atas jalan kebenaran dan kebaikan. Tarbiyah ini membuatkan mereka bagaikan dirasuk dengan keimanan sehingga sanggup melakukan apa sahaja, sehingga tindakan yang diluar batasan akal manusia untuk berjuang di atas jalan Allah SWT.

Tarbiyah ruhiyah yang kuat telah melahirkan peribadi kepimpinan seperti Sultan Muhammad Al-Fateh yang diiktiraf sebagai sebaik-baik pemimpin, yang berjaya memimpin tenteranya yang diangkat sebagai sebaik-baik tentera dan juga beliau telah memerintah rakyat yang dinyatakan sebaik sebaik-baik rakyat. Lihatlah dalam sejarah, bagaimana hubungan mereka dipelihara sepanjang masa ketika dalam proses penawanan Kota Konstantinople.

Tarbiyah inilah yang melahirkan peribadi-peribadi seperti Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Abdul Kadir Audah, Sheikh Ahmad Yaseen, dan ramai lagi tokoh-tokoh gerakan kebangkitan Islam di abad ini. Kekuatan ruhaniyah, menyebabkan setiap butiran kata-kata mereka meresap mendalam ke dalam jiwa para pejuang Islam dan membangkitkan syuur (semangat) mereka untuk sentiasa tetap dalam memperjuangan al-Haq.

Tarbiyah ini akan melahirkan jiwa-jiwa yang ikhlas, jujur dan sanggup berkorban kerana Allah SWT. Tiada mengharapkan ganjaran dunia dan setiap kukuh tetap dalam kesabaran. Jiwa yang dipenuhi dengan kecekalan, keyakinan, ketabahan dan keimanan kepada-Nya akan membawa kepada pertolongan dan bantuan Allah SWT. Inilah rahsia zaman berzaman, kejayaan umat Islam.

Usaha – itu harus diteruskan

Marilah sama-sama, kita lakukan penyerahan jiwa sepenuh untuk dididik dengan didikan Islam. Dan rendahkanlah serta bukalah hati untuk disentuh dengan sentuhan keimanan kepada Allah SWT.

Usah kita biarkan hati ini kaku, keras, dan tidak bermaya.

Kita berazam, dan bertekad untuk bebaskan diri daripada belenggu nafsu yang menipu
Bebaskan diri daripada cara hidup yang lalai dan jauh daripada Allah SWT.

Ayuh lakukan sesuatu agar ia terus segar, hidup dan mampu respon dengan kebaikan dan ajakan kepada kebenaran.

Dan – ia boleh dimulakan dengan Tarbiyah Ruhiyah ini. InsyaAllah.

0 bisikan:

Post a Comment

 

Fatimah Zahra Hanan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino