1/28/2011

Binalah Baitul Muslim Yang DiredhaiNya.


Kehidupan adalah pelayaran menuju ke destinasi yang abadi. Jika dahulu kamu belayar sendirian, kini kamu berdua dalam pelayaran untuk mengharungi badai gelombang yang merbahaya dan ganas ini. Ramai yang tersungkur lantaran terpukau dengan cahaya sang suria dan keindahan wajah bulan serta kerdipan sang bintang.

Mereka leka, sedang yang menunggu mereka adalah kehidupan yang amat panjang dan tidak diketahui untung nasib mereka. Janganlah kamu hidup seperti mereka, menjadikan hawa nafsu sebagai raja lalu hati menjadi gelap sehingga tertutup ia dari pancaran Nur Allah yang terang dan nyata. Apakah pentingnya hidup ini bagimu jika kehidupan dipenuhi dengan impian yang palsu, amalan-amalan yang batil, hidup dengan ketawa keriangan, dan airmata dititis kerana dunia. 

Fahamilah..
Tiada keindahan hidup ini jika amanah Allah tidak didahulukan. Amanah Allah adalah Agamanya. Hidup bukannya untuk mengutamakan nafsu perut dan kepuasan yang membutakan, tetapi hidup adalah ujian kesetiaan diri dengan Tuhan, hidup adalah untuk mendahulukan ajaran-Nya bukan ajaran nafsumu dan syaitan. 

Sahabatku yang dikasihi..
Kini engkau melangkah ke dunia baru, dunia kepimpinan, dunia yang diujikan kepadamu seorang yang bernama wanita. Dia mempunyai sifat dan citarasa yang berlainan denganmu, halus perasaannya dengan satu harapan dan impian. Bimbinglah tangannya ke syurga jannah. Temukan ia dengan Tuhannya, temukan ia dengan Nabinya, temukan ia dengan hamba-hamba yang bertakwa. Peliharalah ia baik-baik kerana ia adalah hadiah dari Tuhanmu, jangan terlalu keras dan jangan terlalu lembut. 

Bertegaslah kamu dalam urusan akhirat dan berlemah lembutlah kamu dalam urusan dunianya. Isterimu adalah bakal menjadi ibu kepada anak-anakmu, sempurna engkau mendidiknya, nescaya sempurnalah anak-anakmu, sumbang engkau mendidiknya, sumbanglah anak-anakmu. 

Tidak ada yang menemukan perkahwinan kamu ini melainkan dakwah yang menemukannya. Persiapkanlah dirimu dan isterimu dengan ilmu dan amal agar setiap langkah perjalanan tersusun indah dan perkasa. Orang lelaki beriman adalah impian setiap wanita yang baik, ia adalah lambang kekuatan dan kegigihan, ia adalah lambang pelindung dan penghibur. 

Bentuklah ia mengikut acuan yang kamu inginkan dengan kasih sayang dan ingatlah, menyalahkan kesalahan isteri apabila kamu bersalah adalah melambangkan kelemahan peribadimu. Jadikanlah dirimu tiang yang kukuh untuk isterimu berpaut ketika ujian dan masalah menimpa rumahtanggamu. Jangan engkau tonjolkan kesusahanmu kerana isterimu tidak mampu bergembira jika engkau bersedih. Isterimu adalah teman yang terbaik dan yang paling dipercayai. 

Saudari yang dikasihi..
Kini engkau melangkah ke alam dewasa. Dewasakanlah pemikiran dan jiwamu. Suami adalah hadiah dari Tuhanmu, syurga adalah dibawah keredhaannya. Bermujahadahlah terhadap nafsumu untuk melayaninya dengan baik dengan senjata kasih sayang. Di akhir zaman ini amat sedikit wanita yang solehah sehingga Nabi bersabda umatnya yang paling ramai ke neraka adalah di kalangan wanita. 

Nekadlah dirimu, tundukkan khayalanmu, keredhaan Tuhan yang dicari dengan berwasilah keredhaan suamimu. Janganlah kamu layannya seperti kawanmu atau saudaramu atau keluargamu, ia adalah lebih dari mereka. Hidupmu kini bukannya untuk menyukakan hati keluarga dan saudaramu tetapi adalah untuk suamimu, ia amat berat tetapi itulah jalan ke syurga. 

Hati yang mantap imannya akan merasai manis dengan ujian dan merasa sengsara dengan nafsu. Wanita yang solehah adalah wanita yang suaminya merasai puashati terhadap layanannya. Janganlah kamu angkuh dengan layananmu kerana belum tentu suami menyukainya. 

Hidupmu kini memasuki pelajaran yang baru iaitu pelajaran mengenali suami, apa yang ia suka dan apa yang ia benci, mengenali wataknya dan mengenali kehidupannya. 

Ia adalah bakal ayah kepada anak-anakmu. Kamu mestilah juga bertindak menjadi penasihat ketika dia lupa, tegurlah dia baik-baik dan jangan sesekali merendahkannya atau membandingkannya dengan lelaki yang lain. Kerana Asiah terus berlemah lembut dengan kekejaman Firaun, maka ia menjadi wanita tauladan. 

Jadikanlah keluarga kalian sebagai keluarga dakwah dimana bila manusia melihat rumahtangga kalian, mereka bagaikan melihat cahaya Islam yang memancar indah. 

diambil daripada aisyah humairah.

0 bisikan:

Post a Comment

 

Fatimah Zahra Hanan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino