1/01/2011

Apakah harapan wanita pada imam hidupnya?



Rata-rata wanita menginginkan perkara yang sama bila berkaitan dengan pasangan hidupnya. Sebagaimana seorang lelaki mengidamkan wanita yang solehah, terpelihara, bijak mengurus rumah tangga (dan sebagainya) begitu juga wanita. Untuk membina Baitul Muslim yang utuh idaman ramai, masing-masing perlu menjadi tonggak yang kuat dengan peribadi-peribadi tertentu. Sering kali dibicarakan sifat-sifat isteri solehah, ibu mithali...
bagaimana pula dengan lelaki?

1.Mampu mencintai dan menerima diri mereka seadanya. Tanpa cinta, segalanya akan menjadi kaku dan dingin. Oleh itu, lelaki, jika tidak dapat mencintai wanita yang bakal dipilih, tak usahlah mengahwininya, kerana anda akan menzalimi wanita tersebut. Fitrah wanita, memang mahu dicintai dan disayangi.

2.Menjadi ketua keluarga yang berwibawa. Mempunyai kecekapan mengurus, bijak menasihati, bertimbang rasa, mampu membimbing dari aspek agama mahupun dunia.

3.Menjadi pelindung keluarga, menanggung keluarga selayaknya, bertanggungjawab, dan sentiasa berusaha melaksanakan kewajipan-kewajipannya sedaya mungkin.

4.Sama-sama mengurus rumah tangga. Tanggungjawab mengurus rumah tangga bukan terletak di bahu isteri sahaja seperti membeli keperluan dapur, membaiki rumah, menjaga keselamatan rumah, tetapi turut tergalas di bahu lelaki.

5.Mengambil berat akan pendidikan anak-anak. Bersama-sama melakukan perancangan dan pelaksanaan pendidikan anak-anak. Untuk membentuk sebuah modal insan yang terbaik, acuan tangan daripada kedua ibu dan bapa amatlah penting.

6.Memelihara kehormatan diri. Bukan sahaja sebelum berkahwin kita perlu menjauhi zina. Bahkan, selepas kahwin, kita masih perlu menjaga adab-adab pergaulan dan mengelak daripada zina. Ramai yang sudah tersilap faham. Perkahwinan pertama bagaikan tiket halal untuk hati terliar-liar mencari pelengkap yang seterusnya. Jika sudah mampu melaksanakan semua tanggungjawab pada isteri pertama dan bersedia menanggung yang lain, silakanlah. Jika tidak, lupakan sahaja jika tidak mahu menempah tiket ke neraka pula atas alasan tidak mampu berlaku adil.

7.Juga merupakan hamba Allah yang taat pada perintah Allah. Jika Imam gagal mengemudi keluarganya selamat untuk ke akhirat, pasti perjalanannya di dunia sarat dengan ranjau dan duri akibat daripada kemurkaan Allah.

Jika para imam dapat menjadi harapan isterinya, (walau tidak sempurna, tetapi masih berusaha) jangan terkejut jika anda telah mempunyai seorang bidadari dunia di rumah kerana wanita akan tunduk pada seorang imam dengan rela apabila imam bersikap seperti imam acuan Al-Quran! Untuk mendapat seorang bidadari, ia terpulang pada sikap anda sendiri wahai lelaki!



"Suami sebagai pemimpin, Isteri sebagai pengurus. Kedua-duanya saling bergantungan dan saling melengkapi. Supaya perjalanan selamat sampai ke detinasi, suami isteri sama-sama memainkan peranan besar. Hala tuju bahtera akan cacat jika salah seorangnya tidak memainkan peranan "-Aulia-



Apakah persediaan yang boleh dilakukan oleh bakal-bakal imam?



Akan bersambung, InsyaAllah…



Salam Mujahadah,

Aulia Huwaina. ^__^

2 bisikan:

Anonymous said...

kalau saya tak dapat jadi imam atau ustaz yang petah berbicara dihadapan khalayak ramai, cukuplah saya dapat jadi imam dan ustaz kepada isteri dan anak-anak saya nanti.

Huwaina. on April 11, 2012 at 9:35 PM said...

tidak kisahlah siapa makmum kita, jadilah abid (hamba) yang benar di pandangan Allah taala. betul solat kita, bacaan kita, khusyuk kita.

dan, lelaki, wajib solat di masjid. :)

Post a Comment

 

Fatimah Zahra Hanan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino