10/30/2010

Tips menjamin keutuhan rumah tangga










Bismillahirrahmanirrahim...

"Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu dari satu jiwa dan menciptakan dari jiwa itu pasangannya dan menebarkan dari keduanya laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah tempat kamu meminta dan jagalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah senantiasa mengawasi kamu." 

(An-Nisaa': 1)

Isu keruntuhan institusi kekeluargaan dalam kalangan masyarakat kita bukanlah sesuatu yang asing lagi, malah seringkali menerobos lubang telinga, menggetarkan gegendang telinga lantas menimbulkan rasa muak yang sudah membuak-membuak membuatkan ramai yang menganggap ianya amat sukar sekali untuk dibendung.
Para pengkaji Barat telah banyak membuat kajian dan rumusan berkenaan isu ini. Ada yang mengaitkan perkara ini dengan ketidaksefahaman antara pasangan, kegagalan dalam komunikasi, pengabaian tanggungjawab dan sesetengahnya memberi kaitan stress (tekanan) adalah penyebab perkahwinan tersebut tidak mengecapi kebahagiaan.
Bagaimana pula dengan perspektif Islam? Sudah tentu Islam memandang berat akan hal ini kerana perkahwinan adalah institusi yang penting dalam pembinaan sesebuah masyarakat yang kemudian akan menyumbang kepada pembinaan sebuah Tamadun Islam. Jika banyak keluarga Islam cemerlang yang terbentuk, maka gemilanglah sesebuah tamadun tersebut. Malah, dakwah juga bermula daripada sekecil-kecil kelompok iaitu daripada sebuah Baitul Muslim.
Oleh itu, Islam telah banyak memberi garis panduan kepada penganutnya daripada asas-asas pembentukan keluarga sehinggalah kepada perkara-perkara berat yang berkaitan hukum kekeluargaan mengikut acuan Al-Quran dan As-sunnah. Berikut adalah antara cara-cara yang dinyatakan dalam Islam dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga dan menjamin keutuhan pembinaan sebuah Baitul Muslim.

Mentaati perintah Allah dan Rasul
Ciri ini adalah yang paling utama yang perlu ditekankan dalam setiap individu muslim untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan hakiki. Ia juga boleh diletakkan sebagai tunjang kukuh dalam menjamin keutuhan sesebuah keluarga agar ianya sentiasa diredhai oleh Allah. Setiap ahli keluarga juga perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara haram ataupun syubhah. Contohnya ibu bapa perlulah mencari punca rezeki yang halal termasuklah perkara-perkara yang dibelanjakan seperti makanan yang halal, penggunaan peralatan yang halal dan sebagainya. 
Dari Abi Hurairah ra. meriwayatkan bahwa Rasulullah saw bersabda, "Lazimnya, seseorang mengawini seorang wanita karena empat alasan: karena kekayaannya; karena martabat keluarganya; karena kecantikannya dan karena kesalehannya. Lebih baik pilihlah ia karena kesalehannya.
 Semoga engkau tetap rendah hati." (Bukhari)



Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah telah memberi tips dalam mencari pasangan dalam rumah tangga sebagai salah satu langkah dalam usaha untuk memperoleh rumah tangga bahagia. Hal ini tidak tertakluk pada wanita sahaja, tetapi boleh diaplikasikan kepada lelaki juga.

Agama
Rasulullah bersabda : “Pilihlah olehmu keturunan kamu dan nikahilah olehmu akan orang-orang yang kufu”

Kufu yang dimaksudkan di atas ialah orang yang baik (serta berilmu dan beragama) dikahwinkan dengan orang yang baik juga. Janganlah seorang lelaki dikahwinkan dengan perempuan yang jahat atau buruk akhlaknya dan wanita yang baik pula dikahwinkan dengan lelaki yang buruk akhlaknya.
Kriteria ini adalah yang paling mustahak dalam mencari calon pasangan. Carilah yang beragama, yakni yang mengamalkan syariat Islam, memahami dan mematuhi perintah Allah. Orang yang mengutamakan agama dalam kehidupannya akan mendapat keredhaan Allah.
Barangsiapa memberi kerana Allah, menolak karena Allah, mencintai kerana Allah, 

membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya.”            (HR. Abu Dawud)


Disamping itu, pasangan tersebut samada suami atau isteri dapat sama-sama mendidik diri masing-masing dan saling memperingati dalam urusan rumah tangga berlandaskan acuan syariat yang dikehendaki Allah.
"Barangsiapa diberi Allah seorang isteri yang solehah, sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya, dan hendaklah bertaqwa kepada Allah separuh lainnya".

(HR. Baihaqi)
Harta
Ciri-ciri ini juga wajar dititikberatkan oleh seorang muslim yang ingin bernikah. Jika calon tersebut seorang wanita, lihatlah akan taraf kekayaannya samada boleh lelaki itu menyesuaikan diri dengan wanita tersebut atau tidak agar tidak timbul masalah pada masa hadapan bila sudah berkahwin kelak. Jika calon tersebut ialah lelaki, lihatlah samada calon yang bakal dipilih itu boleh menanggung dan menyara kehidupan apabila sudah berada di alam rumah tangga.

Keturunan
Di dalam suatu hadith, Rasulullah bersabda:“Pilihlah oleh kamu benih-benih kamu daripada keturunan yang baik-baik, sesungguhnya sistem baka (sesuatu yang diwarisi) itu suatu warisan.”


Lihatlah pula kepada keluarga yang mengasuh lelaki atau wanita tersebut. Bagaimana martabat, kehormatan dan kedudukan keluarga tersebut dalam masyarakat. Perkara ini adalah untuk memastikan kesucian dan kehormatan mereka baik terpelihara. Ciri-ciri seperti bangsa, budaya yang diamalkan oleh keluarga tersebut juga baik jika dipertimbangkan untuk melihat samada dua buah keluarga boleh bersatu dengan baik atau tidak.

Paras rupa
Rasulullah saw bersabda; “Jika Allah memasukkan ke dalam hati seseorang keinginan untuk melamar seorang wanita, maka diperbolehkan baginya melihat wanita tersebut”

Islam membenarkan seorang lelaki melihat wajah wanita yang ingin dilamarnya supaya tidak menyesal apabila sudah berkahwin. Paras rupa juga turut memainkan peranan penting dalam menyemai cinta. Jika tidak berkenan di hati, wanita boleh menolak dengan baik. Aspek kesempurnaan fizikal juga perlu diambilkira. Jika sanggup menerima seseorang yang kurang upaya daripada segi fizikalnya (cacat anggota), maka Islam tidak melarang perkara tersebut.
Nabi pernah berkata “Tiada yang lebih membahagiakan dua orang yang saling menyukai kecuali menikah.” (Riwayat Suyuti)

Tidak berlebihan dalam berbelanja untuk perkahwinan
"Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya."                              (HR Ahmad,al-Hakim dan Baihaqi).
Rasulullah amat melarang keras perkara yang membazir walaupun dalam perkara remeh temeh dalam urusan hidup seharian. Apatah lagi jika ia berkaitan dengan urusan perkahwinan. Belanja kahwin serta wang hantaran perlulah diadakan dengan seadanya yakni tidak berlebih-lebihan (melampaui batas) sehingga membebankan pihak yang lain. Walimatul urus yang diadakan juga mestilah berdasarkan niat yang ikhlas yakni hendak menjamu saudara-mara dan orang-orang fakir miskin dan bukanlah bertujuan untuk bermegah-megah seperti tradisi orang-orang kafir. Ini adalah demi menjaga keberkatan berpanjangan dalam perkahwinan yang dibina.

Redha akan jodoh
Walaubagaimanapun, jika sudah ditakdirkan diberi pasangan yang tidak dapat memberi kebahagiaan rumah tangga seperti yang diidamkan, maka bersabarlah dan redha akan ketentuan Allah. Kadang-kala ujian boleh datang melalui pelbagai bentuk termasuklah diuji dengan pasangan kita sendiri. Selagi mana keadaan tersebut mampu diubah dan tidak memudaratkan (seperti didera), maka bersabarlah, dan berusaha mencari ikhtiar selain bertawakkal kepada Allah.

Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian; boleh jadi pula kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian.
Allah mengetahui sedangkan kalian tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2:216)

Akhlak (sifat/personaliti)
Rasulullah s.a.w  juga bersabda: "Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang kamu redha terhadap agama dan akhlaknya, maka terimalah lamarannya. Dan jika kamu tidak berbuat demikian, maka akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar." Baginda mengulanginya tiga kali ( Riwayat Al-Tirmizi )‌
Memang benar, jodoh itu telah ditentukan oleh Allah. Tetapi Allah telah memberi kita akal untuk berfikir siapakah yang terbaik untuk kita berpandukan garis panduan yang ditetapkan Al-Quran dan As-sunnah agar kelak kita tidak menyesal atas pemilihan kita. Supaya kita yakin, pemilihan kita dahulu telah dilakukan berdasarkan usaha yang murni serta diiringi petunjuk Ilahi.

Kaedah Syura
Syura ialah suatu bentuk perbincangan yang dilakukan untuk membincangkan sesuatu perkara.  Perbincangan di antara ahli keluarga adalah amat penting dalam memperoleh kesefahaman dan menyelesaikan sebarang konflik yang tercetus. Setiap ahli keluarga perlulah diberi peluang untuk bersuara dan dihormati pandangannya walaupun anak yang masih kecil.

Mewujudkan suasana penghayatan Islam
Membina suatu persekitaran yang ‘Islamik’ adalah penting dalam sebuah rumah tangga agar roh Islam itu wujud. Aktiviti meluangkan masa bersama seperti solat berjemaah, tadarus, usrah atau halaqah seperti membincangkan ilmu-ilmu mengenai Islam perlu diwujudkan dan diamalkan secara konsisten di dalam rumah. Ibu bapa yang kurang pengetahuan mengenai Islam patut menghadiri kelas-kelas agama agar ilmu pengetahuan boleh dipertingkatkan lagi dan kemudian berkongsi dengan anak-anak. Melalui cara ini, anak-anak akan menghormati ibu bapa kerana ibu bapanya berpengetahuan dan sentiasa berusaha mencari masa untuk bersama-sama mereka. 

Memelihara kesihatan dan kebersihan keluarga
Islam amat mementingkan kebersihan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda ; “Kebersihan adalah separuh daripada iman”. Hal ini kerana menjaga kebersihan adalah salah satu usaha pencegahan penyakit yang paling berkesan. Malah, sering terdengar ungkapan yang mengatakan pencegahan lebih baik daripada merawat. Apabila ahli-ahli keluarga sihat dan riang, kebahagiaan dapat dinikmati melalui perasaan yang aman dan tenang.

Menjaga hubungan baik antara ibu bapa dan anak
Ibu bapa perlulah menjaga sensiviti hubungan antara anak. Walaupun mereka adalah anak-anak dan kita ternyata kita sebagai ibu bapa mempunyai hak terhadap mereka, mereka perlulah dipandang sebagai ‘individu’ yang mempunyai perasaan dan pandangannya yang tersendiri. Telah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membimbing anak-anak dan memperbetulkan persepsi anak-anak sekiranya mereka tersalah faham mengenai sesuatu perkara. Ibu bapa perlu belajar cara komunikasi berkesan untuk menawan hati anak-anak tanpa berlaku sebarang pertelingkahan di rumah. Kepentingan hubungan kekeluargaan haruslah diberi penekanan oleh ibu bapa dengan baik disamping menjadi contoh yang baik untuk anak-anak dalam hubungan kekeluargaan.
Rasulullah saw bersabda : Kebaikan yang paling cepat memperoleh ganjaran pahala ialah kebajikan dan silaturahim. Dan kejahatan yang paling cepat mendapat hukuman ialah kezaliman dan memutuskan hubungan kekeluargaan.

(Hadith Riyawat Ibnu Majah.


Meneladani sifat orang-orang soleh
Rumah tangga muslim mestilah mengikut contoh jalan-jalan orang yang soleh yang sentiasa diceritakan.
Dalam satu hadith Rasulullah s.a.w bersabda;“Sahabat-sahabatku bagaikan bintang-bintang; dengan mana-mana satu di antara mereka ini kamu ikuti, kamu akan mendapat petunjuk.”

Saidatina Fatimah az Zahra’ juga pernah kagum akan seorang lelaki sebelum beliau berkahwin. Bermakna, cinta dan suka itu adalah tradisi orang-orang soleh. Tetapi mereka tetap menjaga kesucian cinta tersebut sehinggalah mereka diberi jalan yang halal. Allah telah mengganjari hamba-hambaNya dengan sebaik-baik ganjaran. Orang yg dikagumi Saidatina Fatimah Az Zahra’ ialah lelaki yang ditentukan Allah untuk menjadi suaminya.
Contoh lain yang boleh dicontohi ialah kisah rumah tangga Rasulullah sendiri yang sememangnya merupakan contoh yang paling baik untuk diteladani.

Mewujudkan pergaulan antara suami isteri yang baik
Pasangan suami isteri perlulah banyak bersabar, tabah, bertolak ansur dan mengamalkan sifat bermaaf-maafan dalam mengharungi gelora rumah tangga.
“Jadilah engkau pemaaf,serulah orang-orang mengerjakan kebaikan dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh” (surah al-a’araf : 199)
Malah, Rasulullah saw juga amat menyarankan gurau senda antara suami isteri agar bibit cinta dapat sentiasa disemai.
"Perhatikanlah sikapmu terhadap suamimu, karena ia bisa menjadi Surga atau juga 
Neraka mu." (HR. Ath Thabrani)

Membina kesefahaman
Apabila berlaku sebarang perselisihan di dalam rumah tangga, maka haruslah pasangan tersebut kembali kepada hukum Allah dan Rasul. Mereka hendaklah tunduk kepada Allah seperti tunduknya seseorang kepada hakim. Perhatikanlah kembali syariat yang ditetapkan oleh Allah. Jika sebelum ini, si suami masih tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik seperti tidak dapat menyara keluarga dengan baik, maka dia haruslah cuba mencari ikhtiar untuk mengubah keadaan tersebut.
“Sekiranya kamu berselisih faham tentang sesuatu maka kembalikanlah kepada Allah dan RasulNya.” (An Nisa 4:59)

Memastikan keselesaan dan keindahan dalam rumah tangga
Rumah yang dihuni mestilah bersih, kemas, mempunyai ruang yang cukup untuk ahli keluarga, kemudahan seperti tandas yang elok dan terjaga. Islam tidak menyuruh penganutnya hidup dalam keadaan terlalu miskin atau terlalu bermewah-mewah tetapi carilah kesederhanaan dalam setiap perkara yakni ambillah sekadar yang cukup.

Memerintahkan ahli keluarga agar mentaati perintah Allah
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:"Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Al-Ahzab 33:59)

Adalah menjadi tugas seorang suami yang juga merupakan ayah untuk memimpin keluarganya ke arah jalan yang diredhai oleh Allah seperti menyuruh mereka melaksanakan kewajipan menutup aurat seperti yang diperintahkan Allah dalam surah Al-Ahzab. 

Kebijaksanaan mentadbir rumah tangga
Islam amat menggalakkan mereka yang menginginkan pernikahan, malah yang telah berumah tangga agar sentiasa menimba ilmu,agar memperoleh kebijaksanaan dalam mengurus rumah tangga seperti urusan pendidikan anak-anak, kewangan dan lain-lain. Pasangan suami isteri juga amat digalakkan mendalami ilmu-ilmu seperti ilmu psikologi, ilmu pertolongan cemas, membaiki peralatan-peralatan dan banyak lagi.

Pendidikan seks kepada keluarga
Anak-anak perlu diajari daripada perkara yang paling asas seperti adab makan, adab bergaul hinggalah akan pendidikan seks. Ramai ibu bapa mengelak daripada menyentuh akan hal ini sehingga anak-anak mencari jawapan di luar kawalan ibu bapa sedangkan Rasulullah sendiri telah mengajar bagaimana hendak mendidik anak-anak mengawal nafsu,menjaga batas pergaulan mereka antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.
Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. 

(An-Nuur 24:31)


Islam telah menyediakan banyak lagi langkah-langkah yang boleh diikuti oleh umat Islam berpandukan Al-Quran dan As-sunnah. Mudah-mudahan sebarang usaha kecil kita dalam mendapatkan keredhaan Allah akan dinilai dan diberi ganjaran yang sebaiknya daripada Allah. InsyaAllah.
”Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya
Dia akan mengadakan baginya jalan keluar”(Ath Thalaq:2)

  ----------------------------------------------------------------

Senarai rujukan :-

Drs. H. Moh. Rifai & A. Qusyari Mishbah,1989.Terjemah Bulughul Maram. Selangor, Malaysia:Thinker’s Library Sdn Bhd.


Mohammad Lili Nur Aulia, 2008. Cinta Di Rumah Hasan Al Banna. Selangor : Alam Raya Enterprise

Pak Utih (Ahmad Shafai Uda Jaafar), 2009. Suami Memimpin Isteri Mengurus. Kuala Lumpur : JIMEDIA

Muhammad Al Jabari, 1985. Identiti Rumah Tangga Muslim. Shah Alam : Penerbitan Hizbi

Fatimah Syarha Mohd Noordin, 2009. Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn Bhd

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (2008, Februari). Pendidikan Anak-anak Dalam Islam

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (2007, November). Tip Membina ‘Syurga’ Rumah Tangga

Tengku Asmadi, 2008. Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif. Kuala Lumpur : PTS Millenia Sdn Bhd

Abdul Rahman Mohamed, 2008. Kaedah Mendidik Isteri & Anak-antara galakan dan larangan memukul dalam Islam. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn Bhd

Wan Mohd Shuqrie Bin Wan Ahmad, (2010, Mei 21-27). Soal Jodoh Jangan Ada Benci. I Luv Islam. Ms. 16

Azni Husairi, (2010, Oktober 8-14). Sumber Tidak Halal Punca Anak Derhaka. I Luv Islam. Ms. 14

1 bisikan:

Anonymous said...

Salam... MAH. Blog yg bgus.... keep it up...!! Smber rujukan pun byk... :)

Post a Comment

 

Fatimah Zahra Hanan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino