10/31/2010

Kaum lelaki adalah pelindung terhadap wanita


Bismillahirrahmanirrahim..
“Kaum lelaki adalah pelindung terhadap wanita”

Indah bukan ungkapan ini?

 Ini adalah salah satu perintah yang diturunkan Allah untuk kaum lelaki demi menjaga keamanan dan keharmonian dunia. Malah dalam hal rumah tangga juga, salah satu prinsip yang perlu dipegang teguh demi menjamin keutuhan Rumah Tangga Muslim ialah MESTI berdasarkan prinsip ini  “Lelaki adalah qawwamun (bertanggungjawab/pelindung) ke atas wanita.” (An Nisa’ 4:34)





Sehinggakan Islam tidak membenarkan seorang isteri keluar rumah melainkan dengan izin suaminya. Hal ini bukanlah untuk mengongkong pergerakan wanita, sebaliknya memberi perlindungan dan jaminan kepada wanita. Yakni, apabila wanita tersebut keluar ke mana-mana, si suami tahu dan boleh bertindak sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap isteri yang dicintainya itu. Kerana apa? Lelaki adalah qawwamun (pelindung) kepada wanita. Di dalam Al Quran, Allah telah memberi penanggungjawaban terhadap lelaki untuk melindungi wanita yang memang fitrahnya lemah lembut dan perlu dilindungi.

Sebagai lelaki, hal ini tidak harus dipandang enteng dan lewa. Amanah yang diberi perlulah digalas sebaiknya, dan bukan menggunakan ‘kuasa’ tersebut sewenang2nya. Ingatlah, kelak Allah akan bertanya tentang tanggungjawab kita!
Prinsip ini juga bukanlah tertakluk kepada hubungan suami isteri semata, tetapi termasuklah hubungan saudara mara, sahabat, kenalan dll. Islam amat melarang lelaki menghina wanita walau dengan apa cara sekalipun, bahkan jika hendak memukul isteri atau anak perempuan, diberi garis panduan agar mereka itu dapat dididik sekaligus tidak mencederakan. Begitu tingginya kedudukan wanita dalam Islam.

Nah, kaum wanita. Jika Islam begitu meletakkan kita pada kedudukan yang amat terhormat, mengapa kita dengan relanya menghinakan diri kita sendiri dengan mencontohi perangai wanita jahiliyah? (cth; buka aurat, couple, dll)
Pernah terjadi pada zaman Rasulullah, seorang yahudi daripada Bani Qainuqa’ mengusik seorang wanita Islam dengan mengikat hujung kain wanita tersebut sehingga auratnya tersingkap ketika beliau bangun. Lantas, mereka pun tertawakan wanita tersebut. Kebetulan terdapat seorang muslim lain yang lalu di situ dan membela wanita tersebut. Dia membunuh yahudi tersebut, dan dia juga terbunuh apabila Bani Qainuqa’ membalasnya kembali. Hal ini diadukan kepada Rasulullah, dan Rasulullah mengambil keputusan memerangi Bani Qainuqa’ dan menghalau mereka atas sifat mereka yang biadab itu.

LIHAT, seorang muslim dan khalifah islam begitu tegar dalam menjaga kehormatan seorang wanita dan tidak sanggup melihat wanita dihina. Banyak lagi kisah-kisah khalifah Islam yang membela kehormatan wanita. Bukan kerana cinta seorang wanita, lantas Negara pun terkorban seperti yang dipamerkan oleh pemimpin2 kafir yang mencintai seorang wanita, sanggup berperang mengorbankan nyawa tentera-tentera demi memperoleh cinta seorang wanita. Khalifah Islam membela wanita kerana wanita tersebut dihina, dicalari maruah, diperkotak katikkan keemuliaannya! Mana mungkin mereka sanggup berdiam diri?  Wujudkah lelaki yang masih bersifat pelindung sebegini? Pada zaman ini?

Ingin juga saya tegur di sini, perbuatan lelaki pada zaman yang serba ‘canggih’ ini, yakni tindakan sesetengah kumpulan lelaki yang suka melepak2, dan bersiul2 kepada wanita yg lalu lalang dengan tujuan untuk mengusik adalah tindakan yg memalukan malah bersifat rendah dan hina. Bukan begitu sikap seorang muslim terhadap saudara seislamnya. Apatah lagi kepada wanita bukan islam. Bukan akhlak sebegitu yang diajar oleh Rasulullah.

Seperkara lagi, bagi mereka yg ber’couple’, ramai yang mengaku cintakan dan sayangkan pasangan. Fikirlah wahai lelaki, anda tidak akan mencemari seorang wanita yang bakal menjadi permaisuri hidupmu dan menjadi ibu kepada anak-anakmu dengan menyentuhnya sebelum diberi jalan halal. Anda juga tak akan bercintan cintun seperti ‘dating’, gayut, bermadah cinta dll (anda fikir sendiri) kerana semua perbuatan itu hanya menjurus kepada kemurkaan Allah. Sanggupkah anda lihat kekasih yang anda cinta dibakar oleh api neraka? Cinta yang sejati akan melindungi kekasihnya daripada sebarang bahaya…bukankah begitu hukum cinta? Cinta bersifat melindungi dan berkorban. Ramai yang salah faham akan konteks ‘berkorban’. Oh, dalam bercinta, sanggup korban duit, masa, tenaga, untuk kekasih. Silap! Apa yg perlu anda korbankan ialah rasa nafsu anda untuk memiliki insan tersebut, peliharah perasaan suci itu, jangan kotori dia, ambillah kekasih anda dengan jalan yang halal, jalan yang diredhai Allah. Allah pasti mengurniakan kebahagiaan kepada anda. Insyaallah, percayalah pada janji-janji Allah!

'bercouple' hanya akan membuka pintu-pintu kemurkaan Allah dan jalan syaitan untuk menyesatkan kita terbuka luas. Jalan menghampiri zina sudah kita dekati, kunci pintu sudah ada dalam genggaman. Dan, ingatlah. syaitan cukup licik dalam mencampur adukkan yang hak dan yang batil. Orang-orang yang bertaqwa akan menjauhkan diri daripada perkara-perkara syubhah(diragui) .  Dan, orang-orang yang bertaqwa akan dikasihi Allah. Tak mahukah kita akan CINTA ALLAH? 
”Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar” (Ath Thalaq:2)
”Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah menjadikan baginya jalan kemudahan dalam urusannya.” (Ath Thalaq:4)

“tidak semestinya berkenalan sehingga 10 tahun dengn kekasih akan menjamin kebahagiaan rumah tangga.
Sudah banyak rumah tangga yg hancur walaupun hakikatnya mereka sudah lama bercinta sebelum berkahwin”

Fikirlah juga wahai wanita, anda akan melahirkan zuriat2 daripada rahim anda. Anda mahukan anak-anak yang comel, soleh dan solehah, rumah tangga yg bahagia, bagaimana mungkin anda mendidik anak-anak jika hidupmu sudah sedia bergelumang dgn dosa. Perkahwinanmu boleh jadi tidak diredhai kerana telah bermula dgn maksiat! Jangan jadikan perkahwinan anda sebagai pusara cinta…!!
Fikirlah dgn bijak…! Saudara-saudara yang ku kasihi sekalian…    

“Tindakan anda pada hari ini akan memberi kesan pada masa hadapan anda”

Suami memimpin Isteri Mengurus


ok. promote buku.
buku ini saya beli untuk mama (nak ambil hati sebab dah spend duit dia beli buku lain dan kesanggupan mama dan abi hantar saya ke UM untuk suatu program. Saya hampir merajuk bila abi hantar saya lambat sampai saya terlepas bas. T___T )

saya sangat sukakan buku ini! haha..
bila selak sehelai; ketawa. selak sehelai, ketawa.
taklah lawak sangat, tapi inilah benda remeh-remeh yang berlaku dalam rumah tangga yang jarang kita sedari.
menjadi konsultan pada mama dan abi juga memerlukan saya membaca buku ini.

las2 kena marah dengan mama. aiseh..

"time mama nak baca, abi ambik! pas tu dia gelak2"
"mama letak sini (tepi kerusi), kak long curik. hish, geram betul!"

"kak long pulangkan bila kak long dah habis baca..hehhehe"

dah...kena baling ngan bantal. best.....

(hah, apa...curi...? eh, kak long jugak tau yang belikan buku ni.-ok, sifat si anak memang suka mengungkit, sorri)

"seorang pemimpin lebih hebat daripada pengurus. tetapi pemimpin tetap memerlukan seorang pengurus untuk melicinkan urusan-urusannya" -aulia-

10/30/2010

Tips menjamin keutuhan rumah tangga










Bismillahirrahmanirrahim...

"Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu dari satu jiwa dan menciptakan dari jiwa itu pasangannya dan menebarkan dari keduanya laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah tempat kamu meminta dan jagalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah senantiasa mengawasi kamu." 

(An-Nisaa': 1)

Isu keruntuhan institusi kekeluargaan dalam kalangan masyarakat kita bukanlah sesuatu yang asing lagi, malah seringkali menerobos lubang telinga, menggetarkan gegendang telinga lantas menimbulkan rasa muak yang sudah membuak-membuak membuatkan ramai yang menganggap ianya amat sukar sekali untuk dibendung.
Para pengkaji Barat telah banyak membuat kajian dan rumusan berkenaan isu ini. Ada yang mengaitkan perkara ini dengan ketidaksefahaman antara pasangan, kegagalan dalam komunikasi, pengabaian tanggungjawab dan sesetengahnya memberi kaitan stress (tekanan) adalah penyebab perkahwinan tersebut tidak mengecapi kebahagiaan.
Bagaimana pula dengan perspektif Islam? Sudah tentu Islam memandang berat akan hal ini kerana perkahwinan adalah institusi yang penting dalam pembinaan sesebuah masyarakat yang kemudian akan menyumbang kepada pembinaan sebuah Tamadun Islam. Jika banyak keluarga Islam cemerlang yang terbentuk, maka gemilanglah sesebuah tamadun tersebut. Malah, dakwah juga bermula daripada sekecil-kecil kelompok iaitu daripada sebuah Baitul Muslim.
Oleh itu, Islam telah banyak memberi garis panduan kepada penganutnya daripada asas-asas pembentukan keluarga sehinggalah kepada perkara-perkara berat yang berkaitan hukum kekeluargaan mengikut acuan Al-Quran dan As-sunnah. Berikut adalah antara cara-cara yang dinyatakan dalam Islam dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga dan menjamin keutuhan pembinaan sebuah Baitul Muslim.

Mentaati perintah Allah dan Rasul
Ciri ini adalah yang paling utama yang perlu ditekankan dalam setiap individu muslim untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan hakiki. Ia juga boleh diletakkan sebagai tunjang kukuh dalam menjamin keutuhan sesebuah keluarga agar ianya sentiasa diredhai oleh Allah. Setiap ahli keluarga juga perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara haram ataupun syubhah. Contohnya ibu bapa perlulah mencari punca rezeki yang halal termasuklah perkara-perkara yang dibelanjakan seperti makanan yang halal, penggunaan peralatan yang halal dan sebagainya. 
Dari Abi Hurairah ra. meriwayatkan bahwa Rasulullah saw bersabda, "Lazimnya, seseorang mengawini seorang wanita karena empat alasan: karena kekayaannya; karena martabat keluarganya; karena kecantikannya dan karena kesalehannya. Lebih baik pilihlah ia karena kesalehannya.
 Semoga engkau tetap rendah hati." (Bukhari)



Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah telah memberi tips dalam mencari pasangan dalam rumah tangga sebagai salah satu langkah dalam usaha untuk memperoleh rumah tangga bahagia. Hal ini tidak tertakluk pada wanita sahaja, tetapi boleh diaplikasikan kepada lelaki juga.

Agama
Rasulullah bersabda : “Pilihlah olehmu keturunan kamu dan nikahilah olehmu akan orang-orang yang kufu”

Kufu yang dimaksudkan di atas ialah orang yang baik (serta berilmu dan beragama) dikahwinkan dengan orang yang baik juga. Janganlah seorang lelaki dikahwinkan dengan perempuan yang jahat atau buruk akhlaknya dan wanita yang baik pula dikahwinkan dengan lelaki yang buruk akhlaknya.
Kriteria ini adalah yang paling mustahak dalam mencari calon pasangan. Carilah yang beragama, yakni yang mengamalkan syariat Islam, memahami dan mematuhi perintah Allah. Orang yang mengutamakan agama dalam kehidupannya akan mendapat keredhaan Allah.
Barangsiapa memberi kerana Allah, menolak karena Allah, mencintai kerana Allah, 

membenci kerana Allah, dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya.”            (HR. Abu Dawud)


Disamping itu, pasangan tersebut samada suami atau isteri dapat sama-sama mendidik diri masing-masing dan saling memperingati dalam urusan rumah tangga berlandaskan acuan syariat yang dikehendaki Allah.
"Barangsiapa diberi Allah seorang isteri yang solehah, sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya, dan hendaklah bertaqwa kepada Allah separuh lainnya".

(HR. Baihaqi)
Harta
Ciri-ciri ini juga wajar dititikberatkan oleh seorang muslim yang ingin bernikah. Jika calon tersebut seorang wanita, lihatlah akan taraf kekayaannya samada boleh lelaki itu menyesuaikan diri dengan wanita tersebut atau tidak agar tidak timbul masalah pada masa hadapan bila sudah berkahwin kelak. Jika calon tersebut ialah lelaki, lihatlah samada calon yang bakal dipilih itu boleh menanggung dan menyara kehidupan apabila sudah berada di alam rumah tangga.

Keturunan
Di dalam suatu hadith, Rasulullah bersabda:“Pilihlah oleh kamu benih-benih kamu daripada keturunan yang baik-baik, sesungguhnya sistem baka (sesuatu yang diwarisi) itu suatu warisan.”


Lihatlah pula kepada keluarga yang mengasuh lelaki atau wanita tersebut. Bagaimana martabat, kehormatan dan kedudukan keluarga tersebut dalam masyarakat. Perkara ini adalah untuk memastikan kesucian dan kehormatan mereka baik terpelihara. Ciri-ciri seperti bangsa, budaya yang diamalkan oleh keluarga tersebut juga baik jika dipertimbangkan untuk melihat samada dua buah keluarga boleh bersatu dengan baik atau tidak.

Paras rupa
Rasulullah saw bersabda; “Jika Allah memasukkan ke dalam hati seseorang keinginan untuk melamar seorang wanita, maka diperbolehkan baginya melihat wanita tersebut”

Islam membenarkan seorang lelaki melihat wajah wanita yang ingin dilamarnya supaya tidak menyesal apabila sudah berkahwin. Paras rupa juga turut memainkan peranan penting dalam menyemai cinta. Jika tidak berkenan di hati, wanita boleh menolak dengan baik. Aspek kesempurnaan fizikal juga perlu diambilkira. Jika sanggup menerima seseorang yang kurang upaya daripada segi fizikalnya (cacat anggota), maka Islam tidak melarang perkara tersebut.
Nabi pernah berkata “Tiada yang lebih membahagiakan dua orang yang saling menyukai kecuali menikah.” (Riwayat Suyuti)

Tidak berlebihan dalam berbelanja untuk perkahwinan
"Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya."                              (HR Ahmad,al-Hakim dan Baihaqi).
Rasulullah amat melarang keras perkara yang membazir walaupun dalam perkara remeh temeh dalam urusan hidup seharian. Apatah lagi jika ia berkaitan dengan urusan perkahwinan. Belanja kahwin serta wang hantaran perlulah diadakan dengan seadanya yakni tidak berlebih-lebihan (melampaui batas) sehingga membebankan pihak yang lain. Walimatul urus yang diadakan juga mestilah berdasarkan niat yang ikhlas yakni hendak menjamu saudara-mara dan orang-orang fakir miskin dan bukanlah bertujuan untuk bermegah-megah seperti tradisi orang-orang kafir. Ini adalah demi menjaga keberkatan berpanjangan dalam perkahwinan yang dibina.

Redha akan jodoh
Walaubagaimanapun, jika sudah ditakdirkan diberi pasangan yang tidak dapat memberi kebahagiaan rumah tangga seperti yang diidamkan, maka bersabarlah dan redha akan ketentuan Allah. Kadang-kala ujian boleh datang melalui pelbagai bentuk termasuklah diuji dengan pasangan kita sendiri. Selagi mana keadaan tersebut mampu diubah dan tidak memudaratkan (seperti didera), maka bersabarlah, dan berusaha mencari ikhtiar selain bertawakkal kepada Allah.

Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian; boleh jadi pula kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian.
Allah mengetahui sedangkan kalian tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2:216)

Akhlak (sifat/personaliti)
Rasulullah s.a.w  juga bersabda: "Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang kamu redha terhadap agama dan akhlaknya, maka terimalah lamarannya. Dan jika kamu tidak berbuat demikian, maka akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar." Baginda mengulanginya tiga kali ( Riwayat Al-Tirmizi )‌
Memang benar, jodoh itu telah ditentukan oleh Allah. Tetapi Allah telah memberi kita akal untuk berfikir siapakah yang terbaik untuk kita berpandukan garis panduan yang ditetapkan Al-Quran dan As-sunnah agar kelak kita tidak menyesal atas pemilihan kita. Supaya kita yakin, pemilihan kita dahulu telah dilakukan berdasarkan usaha yang murni serta diiringi petunjuk Ilahi.

Kaedah Syura
Syura ialah suatu bentuk perbincangan yang dilakukan untuk membincangkan sesuatu perkara.  Perbincangan di antara ahli keluarga adalah amat penting dalam memperoleh kesefahaman dan menyelesaikan sebarang konflik yang tercetus. Setiap ahli keluarga perlulah diberi peluang untuk bersuara dan dihormati pandangannya walaupun anak yang masih kecil.

Mewujudkan suasana penghayatan Islam
Membina suatu persekitaran yang ‘Islamik’ adalah penting dalam sebuah rumah tangga agar roh Islam itu wujud. Aktiviti meluangkan masa bersama seperti solat berjemaah, tadarus, usrah atau halaqah seperti membincangkan ilmu-ilmu mengenai Islam perlu diwujudkan dan diamalkan secara konsisten di dalam rumah. Ibu bapa yang kurang pengetahuan mengenai Islam patut menghadiri kelas-kelas agama agar ilmu pengetahuan boleh dipertingkatkan lagi dan kemudian berkongsi dengan anak-anak. Melalui cara ini, anak-anak akan menghormati ibu bapa kerana ibu bapanya berpengetahuan dan sentiasa berusaha mencari masa untuk bersama-sama mereka. 

Memelihara kesihatan dan kebersihan keluarga
Islam amat mementingkan kebersihan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda ; “Kebersihan adalah separuh daripada iman”. Hal ini kerana menjaga kebersihan adalah salah satu usaha pencegahan penyakit yang paling berkesan. Malah, sering terdengar ungkapan yang mengatakan pencegahan lebih baik daripada merawat. Apabila ahli-ahli keluarga sihat dan riang, kebahagiaan dapat dinikmati melalui perasaan yang aman dan tenang.

Menjaga hubungan baik antara ibu bapa dan anak
Ibu bapa perlulah menjaga sensiviti hubungan antara anak. Walaupun mereka adalah anak-anak dan kita ternyata kita sebagai ibu bapa mempunyai hak terhadap mereka, mereka perlulah dipandang sebagai ‘individu’ yang mempunyai perasaan dan pandangannya yang tersendiri. Telah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membimbing anak-anak dan memperbetulkan persepsi anak-anak sekiranya mereka tersalah faham mengenai sesuatu perkara. Ibu bapa perlu belajar cara komunikasi berkesan untuk menawan hati anak-anak tanpa berlaku sebarang pertelingkahan di rumah. Kepentingan hubungan kekeluargaan haruslah diberi penekanan oleh ibu bapa dengan baik disamping menjadi contoh yang baik untuk anak-anak dalam hubungan kekeluargaan.
Rasulullah saw bersabda : Kebaikan yang paling cepat memperoleh ganjaran pahala ialah kebajikan dan silaturahim. Dan kejahatan yang paling cepat mendapat hukuman ialah kezaliman dan memutuskan hubungan kekeluargaan.

(Hadith Riyawat Ibnu Majah.


Meneladani sifat orang-orang soleh
Rumah tangga muslim mestilah mengikut contoh jalan-jalan orang yang soleh yang sentiasa diceritakan.
Dalam satu hadith Rasulullah s.a.w bersabda;“Sahabat-sahabatku bagaikan bintang-bintang; dengan mana-mana satu di antara mereka ini kamu ikuti, kamu akan mendapat petunjuk.”

Saidatina Fatimah az Zahra’ juga pernah kagum akan seorang lelaki sebelum beliau berkahwin. Bermakna, cinta dan suka itu adalah tradisi orang-orang soleh. Tetapi mereka tetap menjaga kesucian cinta tersebut sehinggalah mereka diberi jalan yang halal. Allah telah mengganjari hamba-hambaNya dengan sebaik-baik ganjaran. Orang yg dikagumi Saidatina Fatimah Az Zahra’ ialah lelaki yang ditentukan Allah untuk menjadi suaminya.
Contoh lain yang boleh dicontohi ialah kisah rumah tangga Rasulullah sendiri yang sememangnya merupakan contoh yang paling baik untuk diteladani.

Mewujudkan pergaulan antara suami isteri yang baik
Pasangan suami isteri perlulah banyak bersabar, tabah, bertolak ansur dan mengamalkan sifat bermaaf-maafan dalam mengharungi gelora rumah tangga.
“Jadilah engkau pemaaf,serulah orang-orang mengerjakan kebaikan dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh” (surah al-a’araf : 199)
Malah, Rasulullah saw juga amat menyarankan gurau senda antara suami isteri agar bibit cinta dapat sentiasa disemai.
"Perhatikanlah sikapmu terhadap suamimu, karena ia bisa menjadi Surga atau juga 
Neraka mu." (HR. Ath Thabrani)

Membina kesefahaman
Apabila berlaku sebarang perselisihan di dalam rumah tangga, maka haruslah pasangan tersebut kembali kepada hukum Allah dan Rasul. Mereka hendaklah tunduk kepada Allah seperti tunduknya seseorang kepada hakim. Perhatikanlah kembali syariat yang ditetapkan oleh Allah. Jika sebelum ini, si suami masih tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik seperti tidak dapat menyara keluarga dengan baik, maka dia haruslah cuba mencari ikhtiar untuk mengubah keadaan tersebut.
“Sekiranya kamu berselisih faham tentang sesuatu maka kembalikanlah kepada Allah dan RasulNya.” (An Nisa 4:59)

Memastikan keselesaan dan keindahan dalam rumah tangga
Rumah yang dihuni mestilah bersih, kemas, mempunyai ruang yang cukup untuk ahli keluarga, kemudahan seperti tandas yang elok dan terjaga. Islam tidak menyuruh penganutnya hidup dalam keadaan terlalu miskin atau terlalu bermewah-mewah tetapi carilah kesederhanaan dalam setiap perkara yakni ambillah sekadar yang cukup.

Memerintahkan ahli keluarga agar mentaati perintah Allah
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:"Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Al-Ahzab 33:59)

Adalah menjadi tugas seorang suami yang juga merupakan ayah untuk memimpin keluarganya ke arah jalan yang diredhai oleh Allah seperti menyuruh mereka melaksanakan kewajipan menutup aurat seperti yang diperintahkan Allah dalam surah Al-Ahzab. 

Kebijaksanaan mentadbir rumah tangga
Islam amat menggalakkan mereka yang menginginkan pernikahan, malah yang telah berumah tangga agar sentiasa menimba ilmu,agar memperoleh kebijaksanaan dalam mengurus rumah tangga seperti urusan pendidikan anak-anak, kewangan dan lain-lain. Pasangan suami isteri juga amat digalakkan mendalami ilmu-ilmu seperti ilmu psikologi, ilmu pertolongan cemas, membaiki peralatan-peralatan dan banyak lagi.

Pendidikan seks kepada keluarga
Anak-anak perlu diajari daripada perkara yang paling asas seperti adab makan, adab bergaul hinggalah akan pendidikan seks. Ramai ibu bapa mengelak daripada menyentuh akan hal ini sehingga anak-anak mencari jawapan di luar kawalan ibu bapa sedangkan Rasulullah sendiri telah mengajar bagaimana hendak mendidik anak-anak mengawal nafsu,menjaga batas pergaulan mereka antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.
Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. 

(An-Nuur 24:31)


Islam telah menyediakan banyak lagi langkah-langkah yang boleh diikuti oleh umat Islam berpandukan Al-Quran dan As-sunnah. Mudah-mudahan sebarang usaha kecil kita dalam mendapatkan keredhaan Allah akan dinilai dan diberi ganjaran yang sebaiknya daripada Allah. InsyaAllah.
”Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya
Dia akan mengadakan baginya jalan keluar”(Ath Thalaq:2)

  ----------------------------------------------------------------

Senarai rujukan :-

Drs. H. Moh. Rifai & A. Qusyari Mishbah,1989.Terjemah Bulughul Maram. Selangor, Malaysia:Thinker’s Library Sdn Bhd.


Mohammad Lili Nur Aulia, 2008. Cinta Di Rumah Hasan Al Banna. Selangor : Alam Raya Enterprise

Pak Utih (Ahmad Shafai Uda Jaafar), 2009. Suami Memimpin Isteri Mengurus. Kuala Lumpur : JIMEDIA

Muhammad Al Jabari, 1985. Identiti Rumah Tangga Muslim. Shah Alam : Penerbitan Hizbi

Fatimah Syarha Mohd Noordin, 2009. Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn Bhd

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (2008, Februari). Pendidikan Anak-anak Dalam Islam

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (2007, November). Tip Membina ‘Syurga’ Rumah Tangga

Tengku Asmadi, 2008. Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif. Kuala Lumpur : PTS Millenia Sdn Bhd

Abdul Rahman Mohamed, 2008. Kaedah Mendidik Isteri & Anak-antara galakan dan larangan memukul dalam Islam. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn Bhd

Wan Mohd Shuqrie Bin Wan Ahmad, (2010, Mei 21-27). Soal Jodoh Jangan Ada Benci. I Luv Islam. Ms. 16

Azni Husairi, (2010, Oktober 8-14). Sumber Tidak Halal Punca Anak Derhaka. I Luv Islam. Ms. 14

10/29/2010

Siapa kacau siapa?


Siapa kacau siapa?

Alahai, bapak-bapak sekalian…
“Kak long buat cerita ni, sebenarnya nak tegur bapa-bapa” saya mula berceloteh menerangkan jalan cerita sebuah buku cerita kanak-kanak yang saya cadang untuk dikarang kemudian.

“Kenapa pula?” Abi dengan sungguh-sungguh bertanya soalan.

Saya menjawab soalan dengan soalan. “Berapa ramai hero-hero yang bergelar bapa di Malaysia baca buku bersama anak-anak?”

“Abi baca pa…”

“Orang kata di Malaysia lah!” laju saya menjawab. “Itu pun baca sebab dah kena paksa dengan Uwais”
Mama dan abi ketawa.

“Membaca buku adalah masa yang terbaik nak spend masa dengan anak-anak tau..” saya menyambung lagi.

“Tapi kalau tengok ya, ramai bapa-bapa susah nak baca buku dengan anak-anak. Ada, Cuma tak ramai. Kalau budak-budak minta dibacakan buku, mesti suruh baca dengan mak dia la, apala…” mama pula menambah.

“Yela, budak-budak suka pa baca dengan mak diorang” abi ketawa.

“Eh, ayah baca pun best tau. Sebenarnya kena balance ibu bapa kena baca dengan anak-anak. Cakap pasal spend time dgn budak-budak. Membaca tu satu contoh shj. Cuba tengok pula bila hero-hero bapak ni tengok tv ke, baca surat khabar ke…anak-anak kecoh sikit dia suruh pi jauh-jauh.”

“Ha, macam tengok bola ke. Berita lagilaaah..” mama menyampuk.

“Dah, habis kalau budak-budak tu ganggu, nak tengok macam mana? Kita, time diorang tengok kartun tak kacau pun. Kenapa bila kita nak tengok diorang nak kacau pulak?” Fuyoh, hujah pertama abi.

“Ini bukan soal siapa kacau siapa. Tetapi, sebenarnya anak-anak suka dan seronok dapat spend masa dengan mak ayah dia. Dia tak faham pun peraturan ‘ok, disebabkan abi tak kacau kita tengok kartun, kita pun jangan kacau masa abi tengok berita. Kita dok senyap-senyap je’ tak, diorang tak faham puun…bagi diorang, bila mak ayah tu tengok tv dengan diorang, diorang lagi welcome mak ayah, siap tokok tambah explanation lagi. Suka bila kita sama-sama share dengan diorang. Jadi, bila kita pula tengok tv ke buat apa-apa dia ingat seronoklah kalau kita share dengan dia…”mama menerangkan panjang lebar. Ok, dia cikgu. Kita dengar je…

“Tapi, orang dewasa ni tak suka share dengan anak-anak. Kalau boleh, nak diorang senyap, duduk diam-diam, tak riuh-riuh..sedangkan anak-anak nak rapat dengan kita. Tapi, kita yang menolak.”

Abi diam. Agaknya sibuk pikir kot camana nak tengok bola kalau afnan bebel 24 jam macam pembaca berita, uwais merengek-rengek kat kaki abi mintak perhatian dan belas kasihan supaya bukakan tin biskut, waiz pula suka gaduh dengan afnan; mulut mengalahkan perempuan bila berleter, isu nya hanya sidai tuala. =.=’  macam mana?

“Begini, boleh, kalau terangkan pada budak-budak ni, ok, kalau time berita; jangan siapa pun kacau. Itu kira prime time abi lah. Supaya diorang faham waktu tu, bukan waktu untuk ajak baca buku cerita ka, nak makan kari ka, nak tidur ke, sebab abi tengah tengok berita. Sama jugak peraturan ni boleh dibuat contohnya, waktu pagi bukan waktu tv. Boleh tengok tv, tapi waktunya adalah sekian-sekian pukul berapa.” Saya memberi cadangan.

Kami semua mengangguk. Habis sudah persidangan keluarga hawaina buat kali ke1167. Sekian.    
……………………………………………………………………………………………....................
Sedar atau tak sedar? Kita, sewaktu kecil bukan main setiap perkara yang kita lakukan mesti nakkan perhatian ibu bapa. Lompat lecak pun sibuk nak tunjuk kat mak ayah. Konon dah boleh jadi atlet sukan. Las-las kena marah sebab takut baju kotor.

Tapi, bila kita dah meningkat dewasa, kalau boleh semua benda nak berahsia dengan mak ayah. Ada juga antara kita yang berasa malu jalan tepi mak ayah. Tak kool lah, tak sporting lah. Apalah… hatta tengok tv (benda yang lazim semua keluarga buat) pun, kita, anak-anak berbisik dalam hati “apa mak ayah aku tengok cerita orang-orang muda ni? Tak sesuai langsung!” kadang-kadang kita yang segan nak duduk bersama-sama mereka. Kalau segan sebab cerita tu ada maksiat, lainlah.

Jadi, kepada anak-anak yang digelar permata oleh ibu ayah sekalian, tidak kiralah umur dah menjangkau sejauh mana pun, masih muda lagi ke, dah tua bangka ke, selagi ada masa dapat luangkan dengan ibu bapa, luangkanlah. Kalau kita dah bina ‘gap’ antara ibu bapa dan ahli keluarga lain, kita juga yang rugi.
Kepada mereka yang sudah bergelar ibu bapa pula, ingatlah. Kadang-kadang kita terlupa. Sibuk semata-mata mencari duit.    Bagi anak-anak, erti kasih sayang yang dimaksudkan adalah masa yang diluangkan antara ibu bapa dan anak-anak. Sebab itu kita hairan, kadang-kadang keluarga yang sederhana lebih bahagia daripada keluarga yang kaya raya. Saya tak kata miskin, kerana kemiskinan harta juga boleh beri tekanan pada semua ahli keluarga. Jadilah keluarga yang sederhana, ambil sekadar yang perlu. Masukkanlah dalam rancangan mingguan anda atau diari anda suatu waktu yang khusus untuk anak-anak. Solat dan makan berjemaah adalah waktu terbaik untuk bersama-sama anak-anak.

Kenalilah anak-anak anda. Jangan biarkan orang lain lebih memahami mereka daripada kita sendiri. 

Tak ada tajuk. ini draft.


Fitrah seorang ayah hanya mencari nafkah sahaja kah?
Perbincangan ini bermula pada suatu pagi apabila kami menyentuh mengenai ‘fitrah’.
“Memang fitrah seorang ibu, dia bersifat memberi kepada anak-anaknya” abi berkongsi pendapatnya.
“Habis, fitrah seorang ayah?” saya menyelit.
“Alah, ayah..mana ada..kalau dia makan, dia makan seorang. Susah sikit dia nak ingat anak-anak. Itu fitrah la tuuu..” abi tersengih-sengih.
Saya dan mama membuat muka. Kami masing-masing mengangkat senjata api dalam minda.
“Itula..capati kak long pun habis. Ada ka…nasib baik mengaku.” Saya ketawa.
“Ha, tu la..lelaki ni memang kurang sensiviti ke? Bab-bab camni selalu terlepas pandang……”  mama pula menyambung. Sebenarnya leteran dia panjang lagi. Hehe..
“Aish, fitrah la tuu..semua lelaki macam tu.” Abi cuba men’defend’kan dirinya sendiri. Kesian, tak ada orang nak support.. “Memang kebanyakan lelaki kurang sensiviti. Nak peka terhadap perasaan orang dan keadaan sekeliling. Biasanya, diorang cari makan untuk anak-anak, kemudian balik mana nak pikir dah semua hal-hal remeh-remeh camni..”
“Haah, memang betul pun. Lelaki memang macam tu. Tapi, bercakap  pasal fitrah; ya, memang fitrah ibu tu menjaga anak-anak, ambil kisah pasal anak-anak, tapi ayah pun boleh ambil peranan ni. (tak semestinya kalau dah fitrah tu tak boleh tukar peranan) Kita tengok ya, hatta binatang pun ada jugak yang jantan jaga anak-anak dia….” Talian terputus sebab abi potong line.
“Eh, kebanyakan haiwan jantan yang cari makanan. Betina pula jaga anak-anak dia. Bapa dia cari makanan, bawa balik. Ibu dia yang bela anak-anak. Kadang-kadang yang bagi makan pun, ibu dia jugak. Macam singa, gajah, dll..”
“Betul lah tu. Ada binatang yang macam tu. Tapi ada jugak binatang yang, jantan jaga anak-anak dia, jantan jugak yang buat rumah tau. Macam penguin, jantan jaga telur dia..” talian terputus lagi. Line tak clear.
“Eh, penguin tu lain la..ini macam singa, dia gagah tau. Sebab tu dia cari makanan.”
“Ha, jadi di sini dapatla kita tengok, Allah ciptakan haiwan seperti haiwan pemburu, yang jantan pergi cari makanan. Yang betina jaga anak. Tapi kalau haiwan yang lemah seperti sesetengah jenis burung,penguin, ikan-ikan kecil (cari dalam ensiklopedia ye nama ikan tu!) jantan yang main peranan besar, dibuatnya sarang, untuk betina bertelur, dia awasi pulak sarang tu. Dah bila betina bertelur, sesetengah haiwan, jantan jugak yang pelihara anak-anak dia. Kerana apa? Ikan tu daripada spesies yang kecil, sudahla tu, anak-anak dia lagi la kecil-kecil, lemah. Selalu diserang ikan-ikan besar. Daripada banyak, tinggal la berapa ekor sahaja. Bermakna, sesuai lah jantan tu yang jadi pelindung kepada anak-anaknya. Ada yang betina pulak cari makanan,  paling kurang pun, macam kes ikan tadi betina pergi memperbanyakkan spesies lagi, sebab kalau tak dia pupus lah.” Oh, Maxis dah upgrade line kot. Tu yang boleh cakap panjang lebar.
“mm..walaupun fitrah, tetapi jika dilihat, ia bergantung pada keadaan, dan tak salah jika peranan dan tanggungjawab tu bertukar tangan. Tak semestinya kalau dah nama lelaki tu langsung tak boleh perkisah anak-anak..” mama yang jadi penonton sebelum ini telah bertukar peranan menjadi penyokong saya.
“Jadi, kalau binatang pun boleh, kita sebagai manusia mestilah lagi boleh. Kalau dah ibu tu sibuk memasak di dapur ke contohnya, yang bapa ni ambiklah peranan tu sekejap tengok anak, jaga anak. Takkanlah ibu yang dah bersilat di dapur tu pun terkejar-kejar nak mengendong anak macam si koala tu..” (hari ini perbandingan saya semua dengan binatang. Terlalu banyak baca ensiklopedia kanak-kanak)
“Yalah, Allah ciptakan semua dengan berhikmah…” abi terangguk-angguk.
(cakap pasal memasak teringat pula perbualan saya, mama dan husna.)
“sian, mama tu..masak penat-penat..” husna membodek.
“bak kata Uwais, heeeebat sangggaaat.” Saya tolong tambah perencah.
“Itulah, tak ada siapa pun tolong mama.” Mama buat muka. “mama masak dengan peluh, tak sayang memang saje tau!”
“bwahahahaa..!”  Husna yang sedang minum air tersedak. Saya pula sudah ready angkat tangan, mana tau kot-kot dia pi sembuq pulak kan…memang nak dapat hadiah la tuh..

“Ibu sifatnya memang memberi. Dia risau jika tak dapat memberi. Anak-anak pula risau jika tak dapat menerima” – Ustaz Pahrol Moh Juoi.
Ayah pula? Hehehe.. :D
Artikel ini hanya merupakan sebahagian sembang2 ringan daripada sebuah keluarga.(jangan risau, diorang tak gaduh, pun.) Tak berniat untuk menghentam mana-mana jantina, tetapi ambillah sebagai pengajaran. (lain kali kita hentam orang lain pulak, ye! hehe) 

10/22/2010

Tanzil : Quran Navigator


10/05/2010

Assalamualaikum!


Sekarang ni semua orang nak jadi penulis. Memang dah berlambak blog yang ada sekarang. Bezanya hanyalah pengisiannya bermanfaat untuk kita semua atau pun tidak.

Huwaina bukanlah seorang penulis. Bukan seorang puitis juga. Tidak mahu berleter panjang di sini. Cuma mengharap, sedikit  ilmu yang dikongsi ini akan bermanfaat untuk semua. malah, untuk huwaina sendiri. bila kita kongsi, ilmu itu akan lebih bertambah! Insya Allah..

Huwaina mmohon maaf terlebih dahulu andai kata post-post yang akan datang, akan ada (mungkin ada) yang mengguris hati saudara sekalian. ^-^

wassalam. Ilalliqa' !!
 

Fatimah Zahra Hanan Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino